

CACAT BUKAN PENGHALANG.
WAN HARUN WAN AHMAD 45, dari Kampung Pulau Duyong, Kuala Terengganu seorang yang mengalami cacat fizikal sejak dilahirkan. Dia mula aktif menyertai sukan renang paralimpik ketika berusia 20-an, di mana dia mewakili Terengganu dalam kejohanan sukan OKU anjuran Jabatan Kabajikan Masyarakat (JKM).
“Bermula dari sukan anjuran JKM itulah saya dipanggil untuk mewakili negara dan negara pertama yang saya pergi ialah Korea, dia mana ketika itu saya menyertai Asia Paralimpik Games dengan menyertai tiga acara renang iaitu gaya bebas, kuak kupu-kupu dan kuak lentang,” katanya yang kini masih lagi mewakili negara itu.
Harun yang mahir dalam acara renang itu, pernah beberapa kali memenangi pingat di peringkat antarabangsa, antaranya ialah mendapat tiga pingat gangsa di Korea, pingat perak ketika menyertai kejohanan di German dan pingat emas pada sukan paralimpik Asia Pasifik 2006 di Kuala Lumpur.
“Ketika mula-mula menyertai peringkat antabangsa dulu, saya rasa agak gementar juga, maklumlah terpaksa bersaing dengan peserta dari luar negara yang jauh lebih berpengalaman, tetapi selepas menang di Korea, saya menjadi bertambah yakin dan tidak lagi rasa gementar atau takut untuk berlawan di peringkat antarabangsa,” katanya anak ke enam dari tujuh beradik itu.
Dia yang kematian ibu ketika berusia lima tahun dan bapa beberapa tahun lalu itu, berkata, dia akan terus mewakili negara selagi masih bertenaga dan diperlukan kerana pada usia 45 tahun ini, Harun masih lagi mampu untuk berenang dengan baik.
“Buat masa ini boleh lah lagi kalau nak masuk pertandingan itu, tetapi pada masa hadapan saya tidak tahulah kerana usia sayapun sudah 45 tahun sekarang. Saya yakin jika menjalani latihan saya bolehlah lagi bersaing dengan peserta lain,” katanya yang boleh berenang ketika usinya 5 tahun.
Harun berkata, buat masa sekarang dia menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan dari JKM dan jika menyertai kejohanan renang dia akan mendapat elaun latihan dan elaun jika bertanding di luar negara tetapi, katanya itu bukanlah sepanjang masa, kerana itulah dia menternak ikan keli untuk menambah pendapatanya.
“Menternak ikan keli ini segala peralatanya dibiayai oleh Jabatan Tenaga Kerja manakala modal membeli benih dan makanan ikan saya gunakan duit sendiri. Buat masa ini projek saya ini sudah mendatangkan hasil tetapi tidaklah banyak kerana ia hanya di pasarkan kepada penduduk setempat sahaja.
“Saya pernah mendapat tawaran untuk menjadi pembekal ikan keli tetapi, syarikat yang menawarkan itu mahukan jumlah yang banyak tetapi saya tidak mampu kerana modal yang ada tidak cukup bagi saya membesarkan perniagaan ini, lagipun saya tidak mempunyai ramai pekerja melainkan saudara mara yang datang membantu,” katanya.
Dia yang masih bujang itu, mengakui pernah dua kali putus cinta kerana itulah sehingga sekarang dia belum bertemu jodoh tetapi masih menaruh harapan untuk mempunyai isteri dan mempunyai keluarga sendiri.
“Sekarang saya tinggal sendirian di rumah ini, emak dan ayah sudah tiada, manakala adik beradik lain sudah berkeluarga dan mempunyai rumah sendiri. Terasa juga mempunyai keluarga sendiri pada usia yang sudah lanjut ini tetapi mungkin saya belum bertemu jodoh dengan wanita yang akan menjadi isteri saya itu,” katanya sambil tergelak kecil.
Harun yang boleh menonggang motosikal dan memandu kereta itu, mempunyai sebuah basikal , motosikal dan kereta sendiri yang diubahsuai bagi memudahkan ia bergerak ke mana-mana termasuklah untuk ke Kuala lumpur menjalani latihan sekiranya terbabit dengan kejohanan sukan.
“Saya pandu sendiri kereta ke Kuala Lumpur tetapi hanya sampai di Gombak sahaja kerana saya tidak mahir dengan jalan di sana, sampai di Gombak seorang kawan sudah menunggu saya untuk membawa saya ke Bukit Jalil. Kereta ini boleh digunakan oleh mereka yang normal juga kerana saya mengubahsuainya untuk kemudahan pemandu yang normal,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati dengan Wan Harun atau mahu menghulurkan sumbangan kepadanya bolehlah menghubunginya melalui nombor telefon: 019-9044056.
AMIN: SEMOGA HARUN AKAN DIPERTEMUKAN JODOH.





